Make your own free website on Tripod.com

      TEMPAT-TEMPAT MENARIK

                                                                                                                 

 

 

 

 

LUMUT

 

Terdapat beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi semasa berada di Lumut. Diantaranya ialah:-

PANTAI TELOK SEGADAS

Kedudukannya terletak di selatan Pulau Pangkor. Pantai ini bersih dan putih dan air lautnya jernih kebiruan. Di sini sesuai untuk anda yang inginkan kedamaian dan ketenangan. Untuk sampai ke pantai ini anda perlu berjalan kaki melalui kampung-kampung nelayan tradisional atau terus melalui laut.


Pantai Puteri Dewi

PANTAI TELOK BATIK


Teluk Batik

Pantai perkelahan ini terletak kira-kira 7 km dari pekan Lumut. Merupakan pantai perkelahan yang masyhur didalam negeri dan sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong tempatan. Terdapat berbagai kemudahan di sini termasuk chalet, mini chalet, gerai-gerai makanan, bilik mandi/persalinan awam, dewan seminar dan pusat sumber rekreasi. Kawasan pantai ini dikelilingi oleh keindahan hutan hujan tropika yang merimbun di bukit-bukit yang terdapat di sini.

 

TELOK KETAPANG DAN TELOK NIPAH

Terletak kira-kira 15 km dari Pekan Pangkor dan berhadapan dengan Pulau Giam. Pantai Telok Ketapang dan Pantai Telok Nipah merupakan dua buah pantai yang terletak bersebelahan dengan pantai Pasir Bogak. Pantai ini masih landai dan air lautnya biru jernih serta pasir pantainya yang putih. Pantai ini masih belum tercemar dan kaya dengan keindahan alam semulajadi. Aktiviti yang boleh dijalankan di sini ialah sukan air, perkhemahan, beriadah dn berkelah. Di pantai ini juga banyak terdapat kehidupan laut seperti bunga karang, gamat dan lain-lain yang jarang terdapat di pantai-pantai lain dan juga sebuah Tokong Cina yang menjadi tumpuan umum di kawasan ini.

 

PANTAI PASIR BOGAK

Pantai ini merupakan pantai yang terletak paling hampir dengan jeti feri Lumut-Pangkor. Ianya mengambil masa lebih kurang 15 minit perjalanan dari jeti. Panjang pantai lebih kurang 1.3 km. Pantai ini merupakan pantai perkelahan yang amat menarik dan sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong tempatan dan luar negeri. Untuk ke pantai ini anda boleh sampai dengan menaiki bas atau teksi dari pekan Pangkor dan jarak perjalanan kira-kira 5 km. Ianya terkenal dengan aktiviti berkelah, mandi manda, sukan air, berbasikal, memancing dan bersiar-sirar. Di sinilah terletaknya Hotel Beach Hut, Hotel Sea View, Mini Camp, Standard Camp Pangkor, Paradise Camp, Long House dan Rumah Rehat Kerajaan. Di pantai ini juga terdapat kemudahan Dewan Seminar dan Serbaguna serta tandas awam.

 

TELOK DALAM DAN
TELOK BELANGA (Golden Sand)

Merupakan pantai perkampungan nelayan. Pantai ini adalah pintu masuk pengunjung ke Hotel Pan Pacific. Tarikan utama di sini adalah melalui tradisi dan cara hidup masyarakat nelayan berbilang kaum yang membina rumah di persisiran pantai. Ianya menjadi daya tarikan pelancong terutamanya pelancong asing untuk merasai suasana sebenar aktiviti penangkapan ikan dan cara hidup masyarakat nelayan. Pantai ini landai, airnya jernih dan serba menawan. Di Pantai Telok Belanga atau pantai Golden Sand yang dahulunya dikenali sebagai pantai Puteri Dewi pula terletaknya Hotel Pan Pacific yang bertaraf antarabangsa dan terkenal. Sesuai untuk berbagai aktiviti sukan air seperti wind surfing, ski, air, keno, snorkeling, berbasikal, memancing dan lain-lain.

Pantai Pasir Panjang

Pantai Pasir Panjang merupakan pantai yang terpanjang di Manjung dan terletak hanya 2 km dari Bandar Segari dan 5 km dari Simpang Lumut ke Pantai Remis. Pantai ini juga mempunyai 'Turtle Hatching Centre' yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan.

Pantai Puteri Dewi

Pantai Puteri Dewi mempunyai pantai yang putih bersih dengan air laut kebiruan. Pan Pacific Resort Pangkor merupakan resort yang menguruskan kawasan pantai ini dimana tempat-tempat penginapan dibina di sepanjang pantai. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini seperti 'snorkling', 'scuba diving', memancing, berkelah, mandi manda, bersiar-siar dan sukan air. Namun begitu pengunjung perlu membayar yuran dengan kadar tertentu kepada pihak pengurusan Pan Pacific untuk menggunakan pantai ini kerana ianya dimiliki oleh pihak swasta.

Pulau Pangkor Laut

Pulau Pangkor Laut dimiliki oleh pihak swasta dan menawarkan percutian ekslusif kepada pelancong. Pembangunan di pulau ini adalah berkonsepkan resort dengan pengekalan alam semulajadi. Terdapat 3 buah pantai iaitu 'Emerald Bay', 'Coral Beach' dan 'Royal Bay'. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini seperti 'snorkling', 'scuba diving', memancing, berkelah, mandi manda, bersiar-sirat dan sukan air.

Kota Belanda (Dutch Fort)

Kota Belanda dibina oleh penjajah Belanda pada abad ke 17 iaitu dalam tahun 1670 dan berusia dalam lingkungan 300 tahun. Kota Belanda digunakan sebagai tempat menyimpan bijih timah dan sebagai perisai menahan serangan daripada lanun dan penduduk yang menentang penjajah. Kota ini tidak digunakan lagi selepas kekalahan pihak Belanda. Kota ini merupakan tinggalan sejarah dengan tema koloni British dan Belanda.

Batu Bersurat

Batu Bersurat di Telok Gedong juga dikenali sebagai 'Batu Bersurat Belanda' dan terletak kira-kira 150 meter daripada Kota Belanda. Batu Bersurat ini dipercayai telah dibina oleh orang Belanda berdasarkan tulisan yang terdapat di atas batu tersebut.

Kompleks TLDM

Kompleks TLDM ini merupakan pusat tentera laut yang termoden di kawasan ini. Dengan jumlah 25,000 kakitangan, kemudahan kelengkapan laut yang lengkap, pelabuhan, dermaga, berek, muzium, pejabat dan tempat pelatih, kompleks sukan dan pelbagai kemudahan lain.

Damai Laut Resort

Damai Laut Resort dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta. Pembangunan berteraskan 'resort' dengan pelbagai kemudahan sokongan seperti wakaf, laluan pejalan kaki, ruang perkelahan, jeti dan hotel, tarikan utama di sini ialah sebuah padang golf 18 lubang dilengkapi dengan rumah kelab. Suasana sekitar resort ini dilandskap dengan baik dan menarik.

Pusat Penetasan Penyu Segari

Pusat Penetasan Penyu Segari ini meliputi kawasan seluas 5.5 ekar di pantai Pasir Panjang iaitu 10 km dari Pantai Remis. Pengunjung berpeluang melihat penyu dewasa dipelihara, teknik pelepasan anak-anak penyu ke laut, mengutip telur penyu dan proses pengeraman telur penyu. Kadar bayaran minima RM1.00 dikenakan kepada setiap orang pelancong.